Sabtu, 24 Maret 2012

Syaitan vs Malaikat, dan Kehidupan

  Dalam cerita-cerita kartun zaman Mickey Mouse dan Donald Duck, syaitan digambarkan berwarna merah, bertanduk dan membawa tongkat seperti garfu seperti tongkat Poseidon (pun dongengan Roman juga). Malaikat pula berbaju putih dan mempunyai gelung cahaya di atas kepala.
Syaitan dan malaikat saling bersaing mempengaruhi watak cerita. Syaitan suruh buat jahat, malaikat suruh buat baik. 


Dalam Supernatural semalam, syaitan masih seperti itu, berwatak jahat. Tapi ia sebenarnya bukanlah syaitan, tetapi hantu (demon). Saya sedar semalam apabila Dean tanya Sam, jika dia mempercayai kewujudan syaitan (devil).

Dalam Islam, hantu itu syaitan juga. Jelmaan syaitan dalam pelbagai bentuk yang kita sendiri beri nama masing-masing.

Malaikat pula bukan tentera Tuhan. Malaikat itu makhluk Tuhan. Macam kita. Tapi kejadian malaikat daripada cahaya. Dan malaikat tak ada nafsu. Kerjanya cuma satu, jalankan kerja-kerja yang Tuhan suruh.

Syaitan juga makhluk Tuhan. Syaitan takutkan Tuhan. Tapi syaitan dengan egonya berjanji akan menyesatkan keturunan Nabi Adam (kita semualah tu - ya, kita ni keturunan Nabi). Syaitan ego tak mau sujud pada Nabi Adam. Katanya, dia lagi mulia sebab dijadikan daripada api. Nabi Adam dijadikan daripada tanah saja.



Syaitan tak takutkan malaikat. Tidak seperti yang ditonjolkan dalam Supernatural. Malaikat bukan seteru mereka. Malaikat tak ada nafsu. Syaitan cuma boleh perdaya makhluk bernafsu. Malaikat tak boleh mempengaruhi manusia tanpa izin Tuhan.

Pasangan syaitan bukan malaikat. Syaitan dengan malaikat bukan macam yin dengan yang. Bukan macam baik dengan buruk. Bukan macam lelaki dengan perempuan. Syaitan dan malaikat tak saling melengkapi. Syaitan itu satu entiti, malaikat itu satu entiti yang lain yang mempunyai peranan masing-masing dalam kehidupan manusia.

Ya, kehidupan ini semuanya tentang manusia. Malaikat buat kerja Tuhan untuk kelangsungan hidup manusia. Syaitan pula ajak manusia masuk neraka. Siapa yang ajak manusia masuk syurga? Bukan malaikat, tapi Tuhan.

Yang mentadbir bumi ialah manusia. Manusia ialah khalifah Tuhan di bumi. Khalifah ertinya wakil. Manusia inilah yang sebenarnya tentera Tuhan. Tentera, untuk mengekalkan kedamaian dan menghindari kerosakan. Manusia juga tentera kepada diri sendiri. Berperang dengan nafsu dan bisikan syaitan.

Semua manusia diberikan tanggungjawab ini. Tanggungjawab yang akhirnya akan mempengaruhi kehidupan kita sendiri. Jika kita bertanggungjawab, maka baiklah sudahnya.

Tuhan dah kata, dunia ini taman permainan saja. Tuhan cipta kita untuk sembah Dia. Yang lain cuma main-main. Emosi, perhubungan, pertarungan, persaingan, penipuan, kes sosial, pembunuhan, nafsu, syaitan, malaikat, gelak tawa dan tangis, semuanya permainan. Yang pastinya bukan main-main, semua kita akan hidup di dunia yang lagi satu.

 Siapa yang jadikan dunia ini sebagai ladang tanaman, dialah yang beruntung di akhirat nanti. Ladang tanaman, tanam dengan amal kebaikan, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh. Jika ada, adalah tuaian yang akan kita tunjuk pada Tuhan pada hari pengadilan nanti.

SOURCE : http://fitrahworld.blogspot.com/2011/08/kajian-malaikat-menurut-perspektif.html

Tidak ada komentar:

Posting Komentar